Thursday, February 10, 2011

Tak KeNal Maka Tak CintA

Banyak cerita yang kurang enak aku dengar tentang ‘mereka’ sebelum ni. Pelbagai kerenah yang ‘mereka’ lakukan sehingga ada yang menitis air mata kerana ‘mereka’. Ada juga yang merajuk dan terasa hati dek kerana kenakalan ‘mereka’. Baik cikgu yang muda, mahu pun yang tua, komen mereka hampir sama.. ‘mereka’ susah di kawal, susah dibentuk.

Aku hanya melihat, mendengar dan membuat kesimpulan awal sendiri. ‘Syukur’ aku tidak ditakdirkan untuk ‘handle’ mereka. Tetapi hari tak selalu cerah, langit tak selalu berbintang, macam tu jugak la dengan takdir perjalanan hidupku. Aku telah ditugaskan untuk mengajar mereka untuk subjek yang berat dan agak kritikal. Dengan segala macam cerita yang aku dengar sebelum ni, aku mula cuak untuk memulakan tugas aku untuk mendidik mereka. Pelbagai pertanyaan bermain di benak fikiranku.

“adakah aku bakal menerima nasib yang sama seperti rakan setugas ku sebelum ni?”

“Boleh kah aku mendapat kerjasama yang baik daripada mereka?”

“Adakah mampu aku memikul tanggungjawab ni dengan berkesan?”

Namun jauh di sudut hati ku, telah ku tanamkan satu azam, ‘aku datang untuk membantu mereka’. Perjalanan hidup mereka masih jauh ‘aku perlu tarik mereka daripda terus hanyut’. Aku tak mahu mereka menyesal seperti mana aku pernah rasai dulu.

Jadi aku memulakan hari pertama ku di kelas ‘mereka’ dengan prinsip yang mudah, “Jikalau tidak mampu menjadi yang terbaik dalam akademik, cukuplah sekadar menjadi yang terbaik dalam tingkah laku dan tutur bicara”. Aku cuba buang jauh2 segala persespsi yang tidak baik tentang mereka sebelum ni. Tangan ku hulur dengan penuh keikhlasan, bersama harapan yang menggunung agar mereka berubah menjadi yang lebih baik.

Benar kata pepatah ‘tak kenal makan tak cinta’. Kini setelah hari silih berganti, kesungguhan yang dipamerkan oleh ‘mereka’ untuk berubah mebuatkan aku jatuh hati. Memang tidak dinafikan adakalanya kelas agak tidak terkawal, dengan kenakalan mereka, namun aku masih mampu terima semua itu dengan hati terbuka. Ya tuhan, “Sumpah hati ku tersentuh dengan kesungguhan mereka”. Mungkin ‘mereka’ bukan yang terbaik, tetapi ‘mereka’ telah cuba yang terbaik.

Tapi di saat hati ku sudah mula terpaut, perasaan sayang pun kian bercambah, jodoh kami pula tidak lama. Aku telah dipertanggungjawabkan utk mengajar kelas yang lain. Sedih untuk meninggalkan, kerana masih ada yang terperangkap dalam dunia ciptaan nya sendiri. Namun apa kan daya, tugasan ku terhenti sampai disaat ini sahaja.

Kepada ‘mereka’,terima kasih cikgu ucapkan atas segala kerjasama yang kamu semua telah berikan. Teruskan perjuangan, walaupun kita tidak lagi bersama, doa cikgu sentiasa mengiringi perjalanan hidup kamu. Buat insan yang masih lagi dalam lena, bangun lah, masih belum terlewat untuk perbaiki semuanya. Dan buat kamu insan yang terperangkap dlm ‘dunia’ ciptaan kamu sendiri, keluarlah dari dunia itu, mulakan idup baru.Susah untuk kamu melangkah di masa hadapan kalau kamu asyik leka dengan dunia mainan kamu sendiri..

Previous Post Next Post Back to Top